Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tanpa sedar, bulan Rejab datang bertandang sekali lagi. Apabila tibanya bulan Rejab, ianya bermaksud hanya 2 bulan lagi kita bakal menyambut kedatangan tetamu yang dirindui iaitu Ramadhan. Bulan Rejab mempunyai kelebihan tersendiri seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud :
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa".
Bulan Rejab juga merupakan bulan turunnya perintah solat iaitu ketika berlakunya peristiwa Israk wal Mikraj. Kita dituntut untuk menunaikan beberapa amalan sunat di bulan Rejab ini seperti berpuasa, bersedekah dan berdoa. Antara doa yang selalu diamalkan apabila tibanya bulan Rejab :
Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nu’aim juga menyebut hadith ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: "اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ". قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: "إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ"
Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.
Disertakan pautan doa yang telah dilagukan untuk senang diingati. Saya sertakan sekali maksud bagi doa tersebut di dalam bahasa Melayu.
https://youtu.be/xFDHrWM9VoY
Semoga Allah memberi peluang kepada kita untuk terus beribadat di ketiga-tiga bulan yang penuh barokah ini. Amin! Amin! Amin!
MUALLIM HAZAR
1 Rejab 1444 H
0 Comments